Saturday, April 19, 2014

Top 5 bintang Sherlock Holmes




Sejak novel karya asal Arthur Conan Doyle itu dikeluarkan pada 1887, hampir lebih 80 pelakon telah melakonkan karakter tersebut baik dalam filem, di pentas, di televisyen mahupun animasi.

Antara pelakon tersebut termasuk John Barrymore (datuk kepada aktres Drew Barrymore), Leonard Nimoy (lebih dikenali sebagai Spock dalam "Star Trek"), pelawak David Mitchell, bintang James Bond Roger Moore, pelakon veteran Charleton Heston, bintang British James D'Arcy, pelawak Peter Cook, bintang "Sound of Music" Christopher Plummer, Michael Caine ("The Dark Knight"), dan pelakon "My Best Friend’s Wedding" Rupert Everett.

Selain mereka, pelakon-pelakon di bawah juga terkenal kerana membawakan watak detektif terkemuka dunia tersebut.




1) Jeremy Brett
Bagi ramai penonton dan peminat siri novel karya Arthur Conan Doyle, Jeremy Brett adalah Sherlock Holmes yang sebenar. Malah dia sudah melakonkan watak tersebut dalam 42 produksi pentas dari 1988 hingga 1989, selain daripada siri TV di saluran Granada, UK, "The Adventures of Sherlock Holmes" selama satu dekad (1984-1994). 

Selain watak Sherlock, Brett juga pernah membintangi beberapa buah filem seperti "My Fair Lady" (1964) di samping Audrey Hepburn dan memainkan watak Nikolai Rostov dalam "War and Peace" (1956).



2)Johny Lee Miller
Jonny Lee Miller, yang sebelum ini dikenali dengan watak titular dalam siri TV guaman "Eli Stone", diberikan kepercayaan untuk memimpin siri televisyen Holmes versi moden, "Elementary" yang ditayangkan di saluran CBS sejak 2012.

Malangnya, disebabkan ia ditayangkan serentak dengan siri TV British, "Sherlock" lakonan Benedict Cumberbatch yang jauh lebih popular dan setia dengan karya asal (Watson perempuan?), "Elementary" tidak mendapat sambutan sehangat yang diharapkan.



3) Robert Downey Jr.
Ketika dia diumumkan sebagai Sherlock Holmes dalam adaptasi arahan Guy Ritchie, ramai yang berpendapat pelakon yang berasal dari New York ini tidak akan dapat mempersembahkan watak tersebut seperti mana yang digambarkan dalam novel.

Pendapat itu ada benarnya, tapi dengan hasil yang agak menarik, kerana melalui filem "Sherlock Holmes" (2009) dan "Sherlock Holmes: A Game of Shadows" (2011), Robert Downey Jr. menunjukkan sisi baru berbanding watak serius Holmes yang dilakonkan oleh pelakon lain sebelum ini. Holmes versi Downey Jr. digambarkan sebagai detektif ala ejen 007 yang eksentrik dan degil.




4) Benedict Cumberbatch
Sherlock Holmes seperti yang dikenali para peminatnya merupakan seorang detektif yang dingin, banyak berfikir, agak menjengkelkan tetapi mampu menarik perhatian. Begitu jugalah cara pelakon British, Benedict Cumberbatch melakonkan watak tersebut dalam siri TV saluran BBC, "Sherlock", sekalipun dia harus melakukannya di era moden. 

Malah, menerusi siri tersebut yang ditayangkan sejak 2010, Cumberbatch berjaya meraih populariti meluas sehingga menjadi rebutan ramai produser filem.



5) Basil Rathbone
Jika Jeremy Brett adalah 'Sherlock Holmes sebenar' bagi peminat karya Arthur Conan Doyle tersebut, Basil Rathbone adalah Raja Holmes yang klasik. Dia yang muncul dalam 14 buah filem Hollywood dan sebuah siri televisyen tentang detektif unik ini menjadi wajah pertama yang akan difikirkan para Sherlockian. Namun begitu, definisi Rathbone tentang Holmes lebih mesra dan budiman berbanding Sherlock Holmes yang lain, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan lakonan Cumberbatch.

Pilihan saya? Mestilah Benedict Cumberbatch. hehe

No comments:

Post a Comment